Tewas dengan jumlah jaringan 5-3 pada perlawanan pertama bukanlah keputusan yang dimahukan apatah lagi kelima-lima jaringan tersebut tidak patut dilepaskan dengan mudah oleh barisan pertahanan negara.
Biarpun begitu, sudah tidak berguna untuk peminat merentapi kekalahan pasukan Malaysia di Tangan Singapura dengan agregat 4-6 kerana sudah menjadi satu kebiasaan pasukan yang dilabel pasukan pilihan menerima aib pada mana-mana perlawanan sekalipun.
![]() |
aksi Safie Sali pada perlawanan pertama di stadium lawan |
Jika dinilai prestasi semasa Malaysia sejak muncul juara piala Suzuki AFF , bayangan kekecewaan skuad kebangsaan dalam edisi pra kelayakan piala dunia kali ini sudah dapat dibayangkan apabila kebanyakan negara menolak pelawaan F.A.M untuk mengadakan perlawanan persahabatan .
India, Iran, dan Loas antara negara dari senarai yang menolak permohonan F.A.M termasuk pasukan Filifina yang tidak memberi " reaksi" terhadap permohonan daripada badan induk bola sepak negara untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
Sehinggalah perlawaan dari F.A.M diterima oleh Hong Kong pasukan kebangsaan sedikit boleh menarik nafas lega apabila masih ada negara yang sudi untuk menguji kekuatan anak didik Dato K. Rajagobal.
Itupun, Malaysia terpaksa mengadakan perlawanan sebanyak 2 kali berturut-turut dengan pasukan yang sama sebagai persediaan menghadapi pra kelayakan piala dunia sekaligus menutup aib daripada tidak mengadakan sebarang perlawanan persahabatan langsung di peringkat antarabangsa apabila tawaran sebelum ini ditolak oleh negara lain.
Myanmar antara negara yang menjadi medan ujian skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa dengan Malaysia mencatat kemenangan selesa 2-0 di Kota Bharu kelantan, itupun selepas terpaksa bertungkus lumus di atas padang yang becak akibat hujan sebelum perlawanan.
Kekurangan mengadakan ujian "perlawanan" dengan negara lain adalah jawapan mengapa Malaysia gagal untuk mengatasi Singapura . Ini kerana untuk membentuk keserasian yang ampuh pasukan harimau Malaya memerlukan lebih banyak perlawanan kompetetif.
Tekad Dato K Rajagobal mempertaruhkan barisan terbaiknya dalam ujian menentang 2 kelab besar EPL pula adalah satu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
Tewas 4-0 di tangan Arsenal sebelum dijinakkan 3-6 oleh satu kuasa besar kelab Eropah iaitu Liverpool ternyata membawa padah apabila pemain seperti Nor Idlan Talaha mengalami kecederaan jangka panjang dan faktor keletihan sudah pasti menghantui para pemain negara kerana mereka hanya ada selang beberapa hari sahaja pada waktu itu untuk pertemuan menentang Singapura pada perlawanan pertama.
Dua perlawanan berturut-turut yang diadakan terlalu hampir dengan tarikh pertembungan pra kelayakan piala dunia menentang pasukan jiran turut memberi ruang " selesa" untuk jurulatih Singapura, Radojko Avramovich mengintai kelemahan-kelamahan yang ada pada skuad kebangsaan melalui dua perlawanan yang diadakan.
Hasilnya, skuad The Lions mudah membolosi gawang negara dengan 4 gol dalam separuh masa pertama sebelum meledak gol kelima pada separuh masa kedua.
Mujur, Singapura tidak menambah gol ke-6 pada perlawanan tersebut dan jika ia berlaku sudah pasti The Lions akan lebih " riak" kerana mampu mengatasi jumlah jaringan seperti yang dilakukan Liverpool.
Taktikal yang diterapkan oleh Dato K Rajagobal juga antara jawapan mengapa Malaysia gagal membendung kekalahan di pusingan pertama dan menumpaskan Singapura di Perlawanan kedua.
Andai diteliti corak permainan Harimau Malaya, mereka gemar bermain dengan corak hantaran jauh dan tinggi terutama di dalam bahagian kotak panalti.
Hantaran jauh yang ingin dihantar kepada rakan sepasukan sering sahaja terkandas dan mudah dibaca oleh pihak lawan yang bersaiz lebih tinggi . Taktikal sedemikian hanya akan membawa padah apabila digunakan pada perlawanan penting menentang lawan yang mempunyai kelebihan fizikal seperti pemain-pemain "import" the Lions.
Jika dibandingkan dengan skuad Olimpik pasukan muda ini dilihat lebih "matang" melalui gaya permainan mereka berbanding pasukan senior. Taktikal yang diterapkan oleh Ong Kim Swee tampak lebih jitu dan mantap berbanding rakan sejawatnya Dato K Rajagobal.
Skuad Olimpik tidak menghampakan setakat ini apabila mereka layak untuk pusingan seterusnya dalam pra olimpik dan corak permainan yang ditonjolkan oleh barisan muda ini dalam kempen " mencuri" tempat ke London adalah dengan taktik hantaran pendek dan larian pantas.
Taktikal sedemikian dilihat berkesan apabila barisan negara mampu menyekat lawan mereka , "Lubnan" yang mempunyai saiz jauh lebih besar semasa pertemuan pusingan kedua pra olimpik dan hampir mengejutkan skuad Chealsea yang menguji barisan muda ini pada 21 julai yang lalu biarpun tewas dengan jaringan kontroversi Didier Drogba 1-0.
Berbalik kepada isu skuad senior negara, Jurulatih sepatutnya sudah boleh menilai kemampuan para pemain dengan teknik yang amat meletihkan.
Melakukan serangan balas dengan larian pantas kemudian membuka permainan dengan corak hantaran jauh ke bahagian tepi padang masih rasional untuk digunakan biarpun fizikal pemain Malaysia bersaiz kecil.
Namun yang paling mengecewaskan ialah apabila pemain berulang kali melakukan hantaran silang yang tinggi kepada rakan yang dikawal dalam bahagian kotak panalti sebelum mudah dipatahkan lawan adalah perkara yang tidak seharusnya diamalkan selalu dalam permainan.
Pertahanan pula adalah "penyumbang" terbesar gol kepada pihak lawan dan kelemahan yang dilakukan mudah dihukum oleh pihak lawan.
![]() |
Hanya tinggal kenangan |
Akibatnya, begitu mudah untuk pihak lawan mengucar-kacirkan barisan pertahanan seperti yang dilihat dalam mana-mana perlawanan yang membabitkan skuad negara sebelum ini.
Oleh itu, diharap skuad kebangsaan yang dibentuk selepas ini dapat memperbaiki setiap kelemahan-kelemahan agar Malaysia tidak hanya berbangga di Asia Tenggara sahaja.
Lupakan kelemahan kita kepada " the Lions" dan seharusnya Malaysia berterima kasih kepada pasukan tersebut kerana "mangajar" sesuatu dalam dua perlawanan yang amat berguna untuk dijadikan iktibar pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment