MFO

My photo
Blog MFO sedang mengalami sedikit masalah tertentu dan kerja pembikinan blog ini kepada mutu yang lebih berkualiti sedang dihasilkan. Diharap pengunjung blog Malaysian Football Outsider terus memberikan sokongan. ~ Kalah atau menang teruskan bersama Skuad Kebangsaan Malaysia~

Sunday, July 31, 2011

Bangunlah, Harimau Malaya!!!

Bangunlah , wahai Harimau Malaya!

Itu antara ungkapan paling tepat buat para pemain skuad kebangsaan setelah " tersembam" dalam pertarungan menghitung nasib ke piala dunia.

Kem skuad kebangsaan ketika ini sudah pasti suram serta mentaliti para pemain juga mungkin " jatuh" setelah dipalit aib oleh Sang " singa" tempoh hari.

Sesuatu harus direncanakan segera bagi " mengubati" luka parah Harimau Malaya agar dapat kembali memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain.

Thailand, Indonesia dan Singapura pula berjaya meneruskan kempen kali ini dengan Malaysia hanya mampu melihat ketiga-tiga musuh tradisi itu melangkah dengan bergaya setelah Thailand menyingkirkan Palestin melalui agregat 2-2 dengan kelebihan jaringan memihak kepada negara gajah putih itu mengikut gol peraturan tempat lawan . Indonesia pula yang sekadar seri  1-1 dalam perlawanan pertama menentang Turkmenistan berjaya membenam lawan yang sama 4-3 di gelanggang sendiri sekaligus mara dengan kelebihan agregat 5-4.

Biarpun, perasaan cemburu pasti bersarang di hati seluruh penyokong fanatik Malaysia kerana hanya mampu melihat kejayaan pasukan lain meneruskan langkah , mungkin ramai yang terlepas pandang akan perjalanan skuad handalan lain yang pernah melalui detik sukar seperti yang sedang dilalui Malaysia ketika ini.

Bekas juara piala dunia sekalipun tidak terlepas dari menerima "hukuman" seperti yang berlaku kepada Argentina dan Brazil apabila  tersingkir dalam separuh akhir Copa Amerika walhal kedua-dua pasukan ini adalah pasukan pilihan untuk berentap di final pada tahun ini. Tiada siapa yang menjangka Uruguay dan Paraguay adalah lebih berhak berada di pentas final berdasarkan kesungguhan dan kebijaksanaan mereka di atas padang.

Di Asia Korea selatan juga pernah menjadi mangsa " kekecewaan" setelah pasukan itu beraksi hambar dalam pusingan pra kelayakan piala dunia 2006. Perjalanan skuad yang digelar " Teaguk Warriors" ini juga pernah dikritik hebat oleh media dan penyokong mereka sendiri.

Keputusan seri 0-0 menentang Maldive dalam kempen kelayakan piala dunia 2006 membuatkan reputasi mereka selaku jaguh asia tercalar. Situasi pada waktu itu sama seperti di kem Malaysia sekarang apabila peminat mahu jurulatih dipecat dan pasukan kebangsaan dirombak secara besar-besaran.

Korea selatan antara pasukan yang pernah dikritik hebat oleh penyokong sendiri

China juga pernah dipanah dengan nasib yang sama. Selepas berjaya membuat penampilan pertama dalam edisi piala dunia 2002, skuad ini terus melangkah bergaya apabila menjadi naib juara piala Asia pada tahun 2004 sebelum akur  di tangan Jepun apabila tewas  3-1 di pentas final pada edisi tersebut

Semenjak daripada itu, pasukan yang pernah mencatat jumlah jaringan terbesar menumpaskan Guam 19-0 di stadium Ho Chi Minh City, Vietnam pada tahun 2000 ini bermula dengan rentak sumbang selepas percubaan meraka dalam kempen melayakkan diri ke piala dunia dan kempen piala Asia menemui kebuntuan termasuk ketika "gagal" menyerlah pada kejohanan piala Asia di Qatar pada tahun lepas.

Justeru, tiada alasan untuk seluruh penyokong bola sepak kebangsaan dan juga para pemain sendiri untuk terus" berduka" kerana sejarah arena bola sepak telah membuktikan setiap pasukan yang lemah atau kuat tetap akan berdepan dengan saat sukar biarpun terpaksa menelan segala kritikan dan tohmahan.
(Persatuan Bola Sepak China berusaha mengembalikan semula era kegemilangan China)

Perjuangan pasukan Malaysia juga masih belum selesai dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan Malaysia belum layak untuk menjadi jaguh malainkan Harimau Malaya menebus semula setiap kekalahan dengan kebangkitan yang dramatik selepas ini.

Dendam tetap dendam! ayuh bangunlah semula Harimau Malaya, teruskan  dengan usaha gigih untuk menempuhi perjalanan  yang penuh dengan skrip dan drama ini.

No comments:

Post a Comment